Monday, May 21, 2012

TAWAU 21 Ogos - Polis di sini berjaya menumpaskan sindiket pecah rumah yang didalangi warga Indonesia melibatkan nilai barangan berjumlah RM50,000 setelah menangkap suspek utamanya di sini semalam.

Suspek berusia lingkungan 30-an itu diberkas dalam operasi 'Ops Pintu' yang diadakan bagi menjejaki saki baki kumpulan tersebut. Penjenayah terbabit dipercayai menjalankan kegiatan mereka sejak lapan bulan lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Deputi Supritendan Saches @ Sasis Semob berkata, selain suspek yang ditangkap, empat lelaki tempatan berusia antara 31 hingga 52 tahun turut ditahan kerana membeli barangan curi daripada kumpulan tersebut. 

"Kita merampas barangan yang dijual hasil kegiatan pecah rumah seperti barang kemas, kipas angin, amplifier, seutas jam tangan Citizen dan Rolex.

"Polis percaya dengan tertangkapnya suspek utama itu, kes pecah rumah sekitar pekan Tawau ini berjaya diselesaikan," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Katanya, orang ramai yang pernah membeli barangan curi supaya segera menghubungi pihak polis bagi membantu siasatan.

"Jika ada pihak yang mendekati dan menawarkan barangan dengan harga yang cukup murah, itu mungkin barang curi. Salurkan maklumat kepada pihak polis dengan segera," katanya.

Tegasnya, identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan dan mereka yang didapati membeli barang curi boleh dikenakan hukuman sama dengan pencuri.

No comments:

Post a Comment

Nak komen silalah komen..tapi tanggung sendiri ok..saya tak terbabit dengan komen komen anda...