KUALA LUMPUR 3 Nov. - Polis menembak mati dua lelaki dipercayai penjenayah warganegara Indonesia dalam kejadian tembak menembak di sebuah lorong belakang deretan rumah kedai di Jalan 3/62D, Taman Putera, Bandar Manjalara, Kepong dekat sini, petang ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Mat Zin Ibrahim berkata, polis menemui sepucuk pistol jenis Lorenco buatan China yang mengandungi empat butir peluru, sepucuk pistol mainan, empat bilah parang, sebilah pisau pemotong sayur dan sebuah pemotong wayar dalam kereta lelaki terbabit.
''Kedua-dua lelaki itu berusia lingkungan 40-an, dan memandu sebuah kereta Proton Iswara yang dipercayai menggunakan pendaftaran palsu, BFQ 520.
''Pemandu kereta itu merupakan penduduk tetap manakala rakannya tidak mempunyai sebarang pengenalan diri,'' katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.
Menurut beliau, kejadian itu berlaku pada pukul 3.05 petang, ketika lima anggota polis yang menaiki sebuah kereta peronda sedang melakukan rondaan pencegahan jenayah di pusat bandar Kepong.
Katanya, mereka tiba-tiba bertembung dengan kereta berkenaan yang dalam keadaan mencurigai.
''Kereta tersebut kemudiannya terus memecut dan dikejar oleh kereta peronda sehingga tiba di sebuah kawasan rumah kedai di Taman Putera, Bandar Manjalara di Kepong,'' ujar beliau.
Mat Zin berkata, apabila tiba di sebuah lorong, kereta peronda polis itu berjaya memintas kereta tersebut.
''Salah seorang lelaki itu tiba-tiba melepaskan satu das tembakan ke arah belakang kereta peronda polis dan mengenai bahagian belakang kereta.
''Polis kemudiannya berbalas tembakan dengan dua lelaki itu dan berjaya menembak mati kedua-dua mereka,'' ujar beliau.
No comments:
Post a Comment
Nak komen silalah komen..tapi tanggung sendiri ok..saya tak terbabit dengan komen komen anda...